Monday 12 November 2012

LATIHAN PEMAHAMAN (1)



SOALAN PERMAHAMAN 1
Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

55, Jalan Ali 2/8,
Taman Dahlia,
83200 Kota Tinggi,
Johor.
18 Ogos 2006.
Menemui sahabatku, Hilmi. Semoga saudara berada dalam keadaan sihat walafiat.
Saudara,
Terima kasih kerana menceritakan pengalaman saudara tentang majlis perkahwinan abang saudara yang diadakan di Resort Ayer Keroh baru-baru ini. Saya turut berasa bangga kerana Perbadanan Pelancongan Negeri Melaka memilih abang saudara dan pasangannya sebagai model adat istiadat perkahwinan Melayu. Tentu ramai pelancong asing hadir untuk menyaksikan majlis yang penuh tradisi itu.
Saya juga ingin menceritakan pengalaman menarik saya. Seminggu yang lalu saya dan keluarga telah melawat rumah panjang suku kaum Iban di Sarawak. Mereka tinggal di rumah panjang
sejak beratus-ratus tahun dahulu. Penghuni rumah panjang terdiri daripada beberapa keluarga
dan diketuai oleh Tuai Rumah.
Rumah panjang terbahagi kepada beberapa petak. Satu petak untuk sebuah keluarga. Di dalam petak pula terdapat beberapa buah bilik, dapur, ruai dan tanju. Tanju digunakan untuk menjemur hasil tanaman seperti padi, lada hitam dan hasil hutan lain. Ruai pula ialah tempat
berlangsungnya upacara perkahwinan, kematian dan acara rasmi lain.
Pengalaman melawat rumah panjang tidak mungkin saya lupakan sepanjang hidup saya. Itu sajalah yang dapat saya coretkan buat kali ini. Semoga berjumpa di lembaran lain.
Sekian wassalam.
Sahabatmu,
Mira
1. Di manakah Hilmi tinggal?
A Kota Tinggi, Johor
B Sarawak
C Melaka
D Resort Ayer Keroh

2. Pada pendapat kamu, mengapakah Resort Ayer Keroh dipilih untuk mengadakan majlis perkahwinan itu?
A Kerana abang Hilmi sukakan tempat itu.
B Kerana tempat itu menjadi tumpuan pelancong asing.
C Kerana tiada tempat lain lagi.
D Kerana tempat itu kediaman keluarga Hilmi.

3. FrasaSemoga berjumpa di lembaran lain menunjukkan
A Mira dan Hilmi sering berutus surat.
B Mira ialah bekas rakan sekolah Hilmi.
C Mira dan Hilmi mempunyai tali persaudaraan.
D Mira ialah bekas jiran Hilmi.

4. Apakah pekerjaan utama suku kaum Iban yang tinggal di rumah panjang itu?
A Nelayan
B Peneroka
C Pegawai Kerajaan
D Petani


5. Jika ada pelancong asing yang datang melawat rumah panjang, di manakah majlis sambutan pelancong itu akan diadakan?
A Di petak Tuai Rumah
B Di ruai
C Di tanju
D Di bilik tamu

.........................................................................................................................................................
SOALAN PERMAHAMAN 2
Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
Fahmi : Aku dah kata Malik, tapi kau tak ambil peduli.
Malik : Tapi Fahmi, kalau aku tak gagahkan tulang empat kerat ini, siapa lagi yang hendak suapkan anak dan isteriku.
Fahmi : Ya benar, tapi kau pun tahu sekarang musim angin monsun timur laut.
Malik : Jangan kau nak bersyarah di depanku Fahmi. Selama ini ada saudaraku yang ambil tahu susah senang kami sekeluarga? Lagipun masa aku keluar keadaan laut tenang sahaja.
Fahmi : Aku kan ada Malik, bukan kau tak kenal aku. Sejak dari dulu lagi aku anggap kau sekeluarga sebagai saudaraku. Jika ada apa-apa kepayahan, kenapa kau tidak beritahu aku?
Malik : Sebenarnya aku sekeluarga telah banyak menyusahkan kau selama ini. Yuran pendaftaran anakku, Musa di universiti dulu pun kau yang sediakan. Takkan perbelanjaan hariannya pun aku nak minta daripada kau.
Fahmi : Tapi Malik, aku telah anggap Musa sebagai anakku sendiri, lagipun aku tiada anak. Kau jangan bimbang, mulai sekarang segala perbelanjaan Musa di universiti biar aku yang tanggung. Kau uruskan tiga lagi anakmu yang bersekolah rendah dan menengah itu.
Malik : Terima kasih Fahmi, kaulah saudaraku dunia dan akhirat.
Fahmi : Mujur Pasukan Polis Marin mempunyai bot pemecah ombak, kalau tidak
entah apa yang akan berlaku semalam. Ingat, lain kali kalau nak ke laut,
bawa aku sekali.
Malik : Baiklah Fahmi, terima kasih sekali lagi.

1. Apakah pekerjaan Fahmi dan Malik?
A Polis Marin
B Nelayan
C Petani
D Penuntut universiti

2. Berapa orangkah ahli keluarga Malik?
A Enam orang
B Empat orang
C Tujuh orang
D Lima orang

3. Apakah yang berlaku kepada Malik sehari sebelum perbualan di atas?
A Malik ditimpa kemalangan jalan raya.
B Malik dilanda ombak besar ketika menangkap ikan di laut.
b Malik dihalau oleh saudara maranya.
D Malik diserang jerung ketika di laut.

4. Pernyataan yang manakah sesuai bagi menggambarkan kehidupan keluarga Malik dan Fahmi?
A Fahmi sangat kaya, manakala Malik sangat miskin.
B Mereka berdua sangat miskin.
C Mereka adalah nelayan laut dalam yang kaya.
D Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

5. Pernyataan berikut benar tentang Fahmi, kecuali
A Fahmi tidak mempunyai anak.
B Fahmi ialah sahabat baik Malik.
C Fahmi ialah seorang pemborong ikan.
D Fahmi ialah seorang yang budiman.

 ........................................................................................................................................................


SOALAN PEMAHAMAN 3
Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
Aku meletakkan beg sekolahku di atas pangkin bawah pokok mangga di depan rumah. Keringat masih lagi mengalir di dahi.
Aku perhatikan sekeliling rumahku, tapi kelibat ayah belum kunampak. Mungkin ayah belum pulang lagi dari sawah. Sejak pemergian ibu setahun yang lalu, kerja ayah menjadi dua kali ganda. Anak padi sudah besar, tiada siapa yang akan mencabutnya untuk dipindahkan ke petak sawah.
"Din, baru balik?" tiba-tiba sahaja suara ayah mengejutkan aku dari arah belakang.
"Maafkan ayah, Din. Ayah belum masak lagi," kata ayah sambil menunjukkan dua ekor ikan keli di tangannya.
"Tak apalah, ayah. Ayah pergilah mandi dulu, biar saya masak," kataku sambil membawa ikan keli itu menuju ke pintu dapur.
Lepas sembahyang Zuhur nanti tugasku bermula. Tinggal dua petak sawah lagi yang belum kubajak. Lepas itu, bolehlah aku mengambil upah membajak sawah Pak Megat, Pak Talib dan Pak Said. Itulah punca pendapatan sampingan aku bersama dengan jentera kubota berenjin diesel.
Pernah suatu hari aku suarakan cadangan supaya ayah mencari pengganti ibu, namun aku ditengkingnya. Bagi ayah, tiada sesiapa yang dapat menggantikan tempat ibu.
Aku bertekad untuk meneruskan cita-citaku untuk menjadi seorang peguam seperti yang telah aku katakan pada ibu. Ibu…

1. Perkataan ‘keringat’ dalam petikan di atas bermaksud
A tahi lalat
B darah
C peluh
D jerawat

2. Apakah pekerjaan ayah penulis?
A Pesawah
B Pekebun sayur
C Pembajak sawah
D Penoreh getah

3. Apakah punca pendapatan sampingan keluarga penulis?
A Hasil jualan kuih
B Hasil jualan buah mangga
C Hasil jualan padi
D Hasil upah membajak sawah

4. Berikut ialah sikap yang ada pada diri ayah penulis, kecuali
A Penyayang
B Bertanggungjawab
C Penyabar
D Suka menengking

5. Berikut ialah pengajaran yang boleh didapati daripada petikan di atas, kecuali
A Kita mestilah bersabar menghadapi dugaan.
B Kita hendaklah sentiasa menolong ibu bapa kita.
C Kita hendaklah bekerja sambil bersekolah.
D Kita hendaklah mempunyai cita-cita yang tinggi.


...................................................................................................................................................

SOALAN PEMAHAMAN 3
Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
Persatuan Penduduk Taman Seri Tanjung,
54300 Kuantan,
Pahang Darul Makmur.
_________________________________________________________________________
Yang Dipertua,
Majlis Perbandaran Kuantan,
54400 Kuantan,
Pahang Darul Makmur.                                                                                       7JULAI2012


Tuan,
Aduan Tentang Kerja-Kerja Pemungutan Sampah
Perkara di atas dirujuki.
2. Untuk makluman pihak tuan, kami tidak berpuas hati dengan jadual kutipan sampah sekarang.
Dahulu sampah dipungut tiga kali seminggu, iaitu pada hari Ahad, Selasa dan Jumaat, tetapi
 sekarang sampah hanya dipungut dua kali seminggu. Adakalanya sampah hanya dipungut
sekali seminggu sahaja.

3. Keadaan ini menimbulkan rasa kurang selesa penduduk di sini kerana bau busuk daripada
 sampah yang tidak dikutip itu. Suasana seperti ini bertambah teruk apabila terdapat anjing
 dan kucing liar yang menyelongkar sampah sarap ini.

4. Lori sampah juga selalu datang pada waktu petang. Pada waktu ini banyak kanak-kanak
beriadah di halaman rumah. Hal ini membahayakan mereka.

5. Kami berharap agar pihak tuan memandang serius masalah ini.
Sekian dimaklumkan,
 terima kasih.

Yang menjalankan tugas,
Mazlan
(MAZLAN ABU BAKAR)
               

1. Mengapakah surat ini ditulis?
A Untuk menjelaskan keadaan sampah yang berbau busuk.
B Untuk membuat aduan tentang pemungutan sampah.
C Untuk membuat aduan tentang anjing liar yang berkeliaran.
D Untuk meminta penjelasan tentang jadual lori sampah.

2. Perkataan beriadah dalam petikan di atas membawa maksud
A bersenam
B bersembang
C berkumpul
D beristirehat

3. Pada pendapat kamu, siapakah Mazlan Abu Bakar?
A Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Tanjung
B Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Seri Tanjung
C Pengarah Bahagian Sisa Pepejal Majlis Perbandaran Kuantan
D Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan

4. Harapan penulis daripada aduan ini adalah agar
A lori sampah datang pada waktu malam.
B anjing dan kucing liar dapat ditangkap dengan segera.
C masalah penduduk mendapat perhatian pihak terbabit.
D sampah dapat dikutip setiap hari.

5. Semua pernyataan berikut benar, kecuali
A Persatuan penduduk mahu sampah dikutip setiap hari.
B Lori sampah yang datang pada sebelah petang tidak disenangi penduduk.
C Masalah bau sampah terjadi setelah lori sampah hanya datang dua kali seminggu.
D Kadang-kadang lori sampah hanya datang seminggu sekali.


...................................................................................................................................................

SOALAN PEMAHAMAN 5
Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
KUALA TERENGGANU, 14 Jun - Menteri Besar Terengganu merasmikan perniagaan francais keropok dan nasi dagang menerusi Dagang Corner (DG) dan T' Dagang yang dilancarkan kerajaan Terengganu di Restoran Terapung Puteri dekat sini.
Konsep perniagaan francais itu dilihat mampu mengubah nasib pengusaha makanan tradisional negeri itu, sekaligus membuka peluang kepada mereka memasarkan produk mereka di pasaran antarabangsa.
Dagang Corner di Restoran Terapung Puteri itu adalah satu cara terbaik untuk mempromosikan nasi dagang Terengganu supaya lebih dikenali terutamanya kepada pelancong asing. Selama ini nasi dagang hanya dijual di warung-warung tepi jalan dan di restoran-restoran tertentu sahaja.
Pada masa yang sama, Dagang Corner akan turut memperkenalkan pelbagai jenis kuih tradisi Terengganu untuk dijual di sini. Pihak pengurusan telah membantu pengusaha makanan tersebut dengan menyediakan khidmat nasihat seperti pembungkusan dan pelabelan yang lebih menarik.
Dengan usaha berterusan pihak pengurusan Dagang Corner dan sokongan kerajaan negeri Terengganu, Menteri Besar percaya produk tradisi ini akan mampu dieksport ke luar negara.

1. Siapakah yang bakal memperoleh manfaat daripada perniagaan francais yang dilancarkan itu?
A Menteri Besar
B Pengusaha makanan tradisional
C Kerajaan Negeri
D Pelancong asing

2. Apakah matlamat utama kerajaan melancarkan program seperti di atas?
A Memajukan industri makanan tradisional.
B Menggalakkan kedatangan pelancong asing.
C Melariskan Restoran Terapung Puteri.
D Mempromosikan produk kraftangan Terengganu.

3. Perkataan mempromosikan dalam petikan bermaksud
A memartabatkan
B meyakinkan
C mengiklankan
D menyelerakan

4. Apakah jenis bantuan yang diberikan oleh pihak pengurusan Dagang Corner kepada pengusaha makanan tradisional?
A kewangan
B pembungkusan
C mesin percuma
D penghantaran

5. Apakah harapan Menteri Besar Terengganu dalam petikan di atas?
A Pengusaha makanan Terengganu akan bertambah kaya.
B Produk makanan tradisional mampu dieksport ke luar negara.
C Lebih ramai pelancong akan datang ke Terengganu.
D Lebih banyak peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan.



No comments:

Post a Comment