Wednesday, 14 November 2012

LATIHAN PEMAHAMAN


BAHASA MELAYU UJIAN MENJAWAB SOALAN  PEMAHAMAN


Soalan 1 hingga Soalan 5

Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

      Sekurang-kurangnya separuh daripada orang yang datang berjumpa doktor setiap hari kerana mengadu pening kepala. Sementara itu, satu perempat daripada kakitangan firma yang besar-besar tidak datang bekerja disebabkan oleh sakit kepala. ‘Gejala’ ini menjadi punca yang mengganggu kebanyakan manusia setiap hari. Pening kepala dikatakan ‘gejala’ kerana ia sebenarnya bukan sejenis penyakit tertentu.
      Banyak faktor yang menyebabkan pening kepala. Para doktor mendapati sukar untuk menentukan sebab-sebab pening kepala yang dihadapi oleh seseorang itu pada satu-satu ketika. Ini kerana ia memerlukan kepakaran dan kemahiran yang tinggi. Beberapa pengelasan dibuat untuk mengumpulkan sebab-sebab berlakunya pening kepala dengan pelbagai cara dan dijadikan panduan bagi mengetahui cara-cara mengkajinya.
      Pakar-pakar perubatan telah mengumpulkan 203 sebab  berlakunya sakit pening kepala di bawah tiga kelas : mekanikal, sebab-sebab bisa dan racun, dan sebab berfungsi.
      Pening kepala yang mekanikal berhubung dengan keadaan yang ada sangkut-paut dengan kepala itu sendiri. Misalnya, apabila rongga dahi menjadi sebu, perubahan tekanan udara akan menimbulkan pening kepala. Apabila selaput hidung bengkak, rongga itu menjadi sebu dan menimbulkan pening kepala.
      Bagi sesetengah orang jarang-jarang diserang pening kepala manakala sesetengahnya pula sering diserang sakit ini. Pening kepala yang berlaku sekali-sekala mungkin dapat dikesan dan ditentukan berhubung dengan tindakan yang berlaku sekali-sekala, misalnya terlalu banyak menghisap rokok, minum minuman keras, dan memakan ubat serta dadah. Bahan-bahan beracun yang terkumpul mungkin menukar tekanan di dalam tengkorak dan dengan demikian mengakibatkan pening kepala.
      Tekanan darah yang tinggi juga boleh mengakibatkan pening kepala. Jika tekanan darah itu turun semasa rehat, maka pening kepala itu akan hilang pada waktu itu. Bengkak yan tumbuh dalam tengkorak, apabila cukup besar akan menjadi punca pening kepala yang berkekalan.
      Menjaga kesihatan badan kita secara keseluruhannya iaitu dengan bersenam, menjaga makan dan minum serta membuang air besar dan kecil, biasanya dapat mengurangkan pening kepala yang berkekalan. Jika seseorang itu tidak pernah mendapat sakit kepala dan tiba-tiba mula diserang pening kepala yang berterusan, maka ia perlu mendapat pemeriksaan doktor.
      Jika doktor dapat mengesan hubungan pening kepala dengan faktor-faktor mental dan fizikal serta dapat mengawal faktor itu, besar kemungkinan sakit pening kepala dapat dicegah.

1.       Mengapakah penyakit pening kepala dikatakan satu ‘gejala’?

A  Kerana separuh daripada orang yang datang 
     berjumpa doktor setiap hari mengadu mereka
     menghidap pening kepala
B  Kerana satu perempat daripada kakitangan firma
     tidak datang bekerja akibat pening kepala
C  Kerana pening kepala bukan sejenis penyakit yang
     mengganggu kebanyakan manusia
D  Kerana pening kepala mengganggu hampir semua
     orang sama ada orang awam atau kakitangan firma

2.       Mengapakah para doktor mendapati sukar untuk   
       menentukan sebab-sebab pening kepala yang dihidapi 
       oleh seseorang pada sesuatu ketika?

A  Kerana memerlukan kepakaran dan kemahiran
     yang  tinggi dalam ilmu perubatan
B  Kerana doktor terpaksa membuat pengelasan untuk
     mengumpulkan sebab-sebab pening kepala
C  Kerana para doktor susah hendak mencari sebab
     yang mengakibatkan pening kepala
D  Kerana sakit pening kepala dapat dikumpulkan
     kepada tiga kelas, antaranya sebab mekanikal

3.       Bilakah seseorang itu diserang pening kepala yang berpanjangan?

A  Apabila mengidap penyakit darah tinggi
B  Apabila tumbuh bengkak pada tengkorak
C  Jika salah makan atau mengambil ubat
D  Apabila seseorang itu banyak makan ubat

4.       Apakah kebiasaan yang perlu dilakukan oleh seseorang untuk mengelakkan daripada tekanan pening kepala?

A  Menjaga makan dan minum
B  Selalu buang air besar dan kecil
C  Menjaga kesihatan badan
D  Mengamalkan senaman setiap hari

5.       Berikut ialah maklumat yang tidak benar tentang sakit pening kepala?

A  Terdapat 203 sebab berlakunya sakit pening
     kepala
B  Tekanan pada rongga dahi boleh mengakibatkan
     pening kepala
C  Pening kepala boleh disebabkan oleh tekanan
    darah
D  Hanya doktor pakar sahaja yang boleh mengesan
     sebab pening kepala

Soalan 6 hingga Soalan 10

Baca catatan harian di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

10 Jun 1997
      Aku terpilih menyertai program anak angkat anjuran Kelab Belia di bandar tempat tinggalku. Aku diterima sebagai anak angkat kepada Haji Daud dan Hajah Zainab dari Kampung Ulu Jempul. Rumah mereka sederhana besarnya. Aku diperkenalkan kepada anak-anaknya. Anak ketiga, Salwa, calon SPM. Adiknya bernama Najib, bakal menghadapi PMR dan adik bongsunya Fadila, 12 tahun.
      Mereka mencium tanganku ketika bersalaman. Aku rasa amat terharu. Adikku Nadira dan Najwa tidak pernah berbuat begitu kepadaku walaupun aku kakak sulung mereka.
    
11 Jun 1997
       Gerimis Subuh menjadikan hawa amat dingin di pedalaman ini. Kalau di rumah sendiri aku masih dibuai mimpi. Di sini aku sembahyang Subuh secara berjemaah. Haji Daud sebagai imam dan makmum semua ahli keluarganya. Air mataku menitik. Aku, dalam usia 22 tahun belum pernah berjemaah bersama ayah dan ibuku.

12 Jun 1997
      Pagi ini hujan lebat. Seharusnya kami menyertai projek gotong-royong. Semua orang berkurung di dalam rumah. Haji Daud menceritakan sejarah dirinya. Rupa-rupanya dialah peneroka kampung itu. Dia meninggalkan kehidupan sebagai nelayan dan mengadu untung sebagai petani pula di kampung itu.
      Dia tidak bersekolah tinggi tetapi menyedari pentingnya ilmu. Dia bekerja siang malam untuk menyekolahkan anak-anaknya. Kini dua orang daripada anaknya telah berjaya. Lokman, anak sulungnya menjadi doktor di Hospital Kuala Lumpur dan Juriah, adik Lokman menjadi guru di Pahang. Mereka lepasan universiti.

21 Jun 1997
      Hari kelima aku di sini. Hubunganku dengan keluarga Haji Daud, terutamanya dengan anak-anaknya bertambah rapat. Salwa, Najib dan Fadila sudah pandai bergurau. Ini berbeza dengan adik-adikku yang tinggal di rumah batu dua tingkat di bandar. Kami seperti enau di belukar melepaskan pucuk masing-masing.
      Di sini hatiku tenteram. Keluargaku terlalu mengejar harta-benda sehingga meracun kemesraan dalam keluarga.

6.       Berikut ialah maklumat yang benar tentang diri ‘aku’ kecuali

A  menetap di bandar
B  datang dari keluarga yang kaya
C  berusia 22 tahun
D  mempunyai tiga orang adik

7.       Berapa orangkah anak Haji Daud?

A  3 orang
B  5 orang
C  6 orang
D  7 orang

8.       Apakah yang dilakukan oleh ‘aku’ pada waktu subuh jika dia berada di rumahnya sendiri?

A  Sembahyang Subuh
B  Masih enak tidur
C  Masih berselimut
D  Masih dalam bilik

9.       Mengadu untung’  dalam petikan di atas bermaksud

A  Haji Daud mencuba nasib di kampung itu
B  Haji Daud dan isterinya membuka kampung itu
C  Haji Daud mengadu kehidupannya kepada penulis
D  Haji Daud mencari rezeki di kampung itu

10.    Pada pendapat anda, mengapakah ‘aku’ berasa tidak bahagia ketika bersama keluarganya?

A  Kerana adik-adiknya tidak menghormati dirinya
B  Kerana mereka tidak pernah sembahyang   
     berjemaah
C  Kerana ahli keluarganya saling mementingkan hal
     diri
D  Kerana ayah dan adiknya sibuk mengejar harta
     Benda

Soalan 11 hingga Soalan 15

Baca dialog di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

Hadi       : Selamat pagi.

En. Ali    : Selamat pagi, sila duduk.

Hadi       : Terima kasih. Jika tidak keberatan bolehkah  
   saya menemu ramah Encik Ali?

En. Ali    : Boleh, apa salahnya.

Hadi       : Sebelum melanjutkan pertanyaan, saya ucapkan 
                 tahniah atas kejayaan Encik Ali mendapat  
  tempat pertama dalam pertandingan perisian
  komputer. Kejayaan tersebut telah menaikkan 
  nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

En. Ali    : Terima kasih. Saya tidak menduga kejayaan
saya itu telah mendapat liputan yang meluas oleh akhbar di Malaysia.

Hadi      : Hal ini demikian kerana inilah kali pertama 
                anak Malaysia berjaya dalam pertandingan 
                perisian komputer yang dianjurkan oleh Micro
                Software Inc yang terkenal itu. Saya
               difahamkan Encik Ali ialah pelajar tahun akhir
               dalam bidang perisian komputer di Universiti
               London. Sebelum itu di manakah Encik Ali
               belajar?

En. Ali   : Selepas SPM saya terus mendapat tempat di
                 ITM, Shah Alam. Saya belajar sehingga 
                 mendapat diploma dalam bidang komputer. 
                Selepas itu baharulah saya  melanjutkan pelajaran 
                di luar negara.

Hadi      : Berbalik kepada perisian yang direka cipta
                Encik Ali, apakah nama perisian itu dan tujuan
                perisian itu?

En. Ali    : Perisian itu  namanya Solve 2000 dan ia direka
                untuk mengatasi masalah pepijat tahun 2000.
                Pada tahun itu semua komputer dan alat-alat
                seperti pemain VCD dan mesin basuh tidak
                dapat bekerja lagi kerana tidak dapat
                ‘membaca’. Hal ini berlaku kerana kebanyakan
                 komputer telah disetkan tarikh sehingga tahun
                1999 sahaja.

Hadi       : Setahu saya sudah terdapat banyak perisian di 
                 pasaran untuk mengatasi masalah pepijat
                 tahun 2000 itu, jadi apakah kelebihan perisian 
                 yang direka oleh Encik Ali ini?

En. Ali    : Kebanyakan perisian itu mahal harganya se-
                 dangkan perisian ciptaan saya ini murah dan 
                 mudah digunakan. Perisian ini  juga berupaya
                 mengenali komputer yang menghadapi
                 masalah pepijat tahun 2000 dan mengubah
                 tarikhnya supaya komputer dapat berfungsi.
                 Walau bagaimanapun perisian ini hanya untuk
                 komputer sahaja bukan alat-alat elektrik yang
                 lain.

Hadi       : Bolehkah Encik Ali  menerangkan kesan
                 pepijat tahun 2000 itu terhadap kehidupan
                 kita?

En. Ali    : Sekarang ini kita banyak bergantung kepada
                 komputer. Misalnya kita boleh mengambil
                 wang di bank dengan menggunakan kad
                 sahaja. Kita menggunakan pelbagai perisian
                 untuk menulis, membuat graf, membina data,
                 melukis dan sebagainya. Kita juga boleh
                 menghantar surat elektronik atau berhubung
                dengan kawan menggunakan komputer. Semua
                hal itu dilakukan dengan menggunakan
                perisian-perisian tertentu. Seperti yang saya
                katakan tadi, kebanyakan perisian itu boleh
                membaca hingga tahun 1999 sahaja, jadi pada
               1 Januari 2000 komputer tidak dapat lagi
                berbuat demikian kerana tarikh sudah berubah.
                Inilah yang dikatakan pepijat tahun 2000 itu.
                Jadi, apabila komputer tidak dapat berfungsi
                tentulah banyak kesan buruknya.

Hadi       : Sebelum saya berundur, pertanyaan saya yang
                 akhir ialah adakah semua alat elektrik
                 menghadapi masalah pepijat tahun 2000 ini?

En. Ali    : Oh, tidak! Hanya alat elektrik yang boleh kita
                 jangkakan masa ia akan berfungsi akan
                 terlibat. Misalnya mesin perakam pita video,
                 apabila kita hendak merakamkan sesuatu
                 program dari televisyen kita tentukan waktu
                 dan tarikh mesin itu befungsi. Alat seperti ini
                 dan keluaran yang lama akan menghadapi
                 masalah pepijat tahun 2000.

Hadi       : Maksudnya, komputer dan perisian keluaran
                 lama akan menghadapi masalah yang sama?

En. Ali    : Ya, begitulah.

Hadi       : Saya berundur dulu dan lagi sekali tahniah dan 
                 terima kasih.

En. Ali    : Sama-sama.


11.    Siapakah Hadi?

A  Penemu ramah
B  Pemberita
C  Pelajar universiti
D  Pelajar ITM

12.    Perkataan ‘liputan’ dalam petikan di atas bermaksud

A  laporan
B  perbincangan
C  perbahasan
D  sanjungan

13.    Berikut ialah maklumat yang salah tentang diri Encik Ali?

A  Beliau bekas pelajar ITM
B  Beliau kini belajar dalam negeri dalam bidang 
     komputer
C  Beliau telah mereka cipta perisian Solve 2000
D  Beliau telah mengangkat nama Malaysia di mata
     dunia

14.    Mengapakah komputer keluaran lama tidak dapat berfungsi pada 1 Januari 2000?

A  Kerana komputer itu dijangka rosak secara tiba-
     tiba
B  Kerana komputer itu tidak dapat membaca pada
     tarikh berkenaan
C  Kerana komputer itu dapat membaca selepas tarikh
     1999
D  Kerana komputer itu tidak dipasang perisian
     rekaan Encik Ali

15.    Masalah pepijat tahun 2000 akan berlaku kepada

A  komputer dan alat-alat elektrik keluaran lama
B  komputer, perisian lama serta beberapa alat
     elektrik
C  perisian dan komputer yang baru dikeluarkan
     sahaja
D  semua jenis komputer dan mesin perakam video

No comments:

Post a Comment

Post a Comment